Siakap Keli
Gambar: Google

Pengasas E-Hailing Maut Dalam Keadaan Mengerikan, Turut Ditemui Gergaji Elektrik Berhampiran Mayat Mangsa

Seorang usahawan syarikat e-hailing ditemui mati di apartment mewah miliknya di New York.

Fahim Saleh, 33 yang merupakan pengasas Gokada ditemui dalam keadaan anggota badannya terputus pada tengah hari, Isnin lalu.

Menurut BBC, usahawan tersebut terkenal dengan peranannya dalam mewujudkan syarikat permulaan yang popular di Nigeria dan Bangladesh.

Rakaman CCTV di tempat kejadian mendapati mangsa memasuki lif bersama seorang lelaki yang memakai penutup muka pada Isnin.

Mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan anggotanya yang terpisah, termasuk kepala yang terputus daripada badan. Turut ditemui adalah gergaji elektrik berhampiran mangsa yang masih bersambung dengan soket elektrik.

Salah satu sumber penguatkuasa undang-undang memberitahu New York Post bahawa keadaan di lokasi kejadian menunjukkan seolah-olah pembunuhan dilakukan secara profesional.

Menurut The Sun, salah seorang sumber memberitahu suspek memakai pakaian bertutup seperti ninja dan melarikan diri melalui tangga sebaik sahaja kakak mangsa tiba.

“Dia berpakaian seperti ninja, jadi kamu tak dapat lihat wajahnya.

“Dia dengan jelas tahu apa yang dia lakukan. Kami fikir niatnya adalah untuk menghapuskan bahagian badan dan kembali untuk membersihkan (lokasi kejadian) seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia pergi sebelum menghabiskan kerjanya.”

Bahagian badan mangsa ditemui dalam beg plastik di tempat kejadian. (Gambar: The Sun)

Fahim merupakan seorang anak kepada imigran Bangladesh yang berjaya memulakan syarikat pertamanya ketika masih di sekolah menengah.

Dalam kalangan rakan-rakan, Fahim dianggap sebagai ‘Elon Musk’ generasi baharu.

Terbaru, beliau turut menjadi pengasas bersama Gokada, aplikasi teksi motosikal Nigeria.

Lapor Techcrunch, Gokada mengumpulkan dana $ 5.3 juta pada Mei 2019 manakala dokumen menunjukkan syarikat itu mengemukakan tawaran keselamatan bernilai $1.7 juta pada bulan Jun 2019.

Pengasas bersama Gokada, Deji Oduntan berkata, beliau amat terkejut mendengar berita tersebut.

“Saya benar-benar terkejut dan amat sedih mendengar berita kematian Fahim.

“Fahim sangat bersemangat membina ekosistem kami dan meninggalkan kesan kekal di dalamnya.”

Sebelum itu, Fahim secara bersama telah mengasaskan syarikat e-hailing, Pathao yang popular di Bangladesh dan Nepal pada 2015.

Sumber: BBC

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.