Siakap Keli

Moratorium Patut Dilanjutkan Tempoh Secara Automatik – Ahli Ekonomi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Moratorium harus dilanjutkan tempoh secara automatik, cadang Pengerusi Hal Ehwal Usahawan, Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia, Ahmad Muzakkir Hamid.

Beliau menjelaskan, cadangan tersebut dibuat berdasarkan keadaan ekonomi semasa, selain merujuk laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia yang mencatatkan lonjakan kadar pengangguran sebanyak lima peratus.

“Pengangguran meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778.8 ribu orang.

“Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

“Begitu juga kepada peniaga sekarang kebanyakan mereka masih tidak dapat pendapatan seperti mana sebelum PKP bermula, ada diantaranya baru mula berniaga bulan ini,” kata ahli ekonomi itu menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Muzakkir sewaktu bersiaran secara langsung di rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM. Gambar: Ahmad Muzakkir Hamid

Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir menjelaskan, penamatan moratorium pada akhir September ini bakal mengakibatkan tekanan dan gangguan emosi, ekoran aliran tunai golongan tersebut terkesan dan terjejas, selain masih lagi tidak pulih seperti sediakala.

“Ini juga kerana sambutan dan kuasa beli sudah pasti akan berkurang kerana rakyat lebih berjimat untuk berlanja.

“Pihak kita mencadangkan agar semua bank melanjutkan tempoh moratorium secara automatik seperti sekarang ini bagi tempoh tiga (3) hingga enam (6) bulan lagi.

“Ini menjadi kesukaran kepada mana-mana yang terkesan untuk berunding dengan pihak bank seperti yang disarankan untuk melanjutkan tempoh secara personal, kita khuatir akan ada berlaku kerenah birokrasi dan menyukarkan individu tersebut, sedangkan ia betul-betul memerlukan,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, jumlah usahawan PKS yang berdaftar di Malaysia adalah sebanyak 907,065.

“Dari jumlah ini, lebih 600,000 adalah PKS Micro, dari jumlah tersebut lebih kurang 10% adalah usahawan kami terdiri dari alumni UiTM.

“Sudah pasti golongan PKS Micro ini akan menghadapi masalah kewangan yang agak lama, begitu juga kepada penganggur yang masih mencari pekerjaan akibat dibuang kerja kesan dari COVID-19 ini.

“Kita juga menjangkakan apabila PKPP yang akan berakhir 31 Ogos juga tidak dapat memulihkan mana-mana perniagaan seperti sebelum berlakunya PKP 18 Mac 2020,” jelasnya.

Sumber: Ahmad Muzakkir Hamid

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.