Siakap Keli

Kastam Zon Tengah Rampas Dadah Bernilai Lebih RM244,000 Berkas Tiga Warga Asing

PETALING JAYA, 20 Julai  — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM244,000 hasil serbuan ke atas sebuah premis di Dataran Ocean Lebuh Gopeng, Klang, Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira 6.30 petang itu, kastam turut menahan dua wanita dan seorang lelaki warga asing berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata dadah yang dirampas dari dalam sebuah bilik di premis itu ialah dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.5kg dengan anggaran nilai RM195,195; ketamin seberat 0.555 kg (RM27,750) dan pil ekstasi 735 biji (RM22,050).

“Modus operandi, sindiket dipercayai berselindung di sebalik rumah pekerja asing yang didiami penghuni berlainan jantina bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan dadah tersebut dipercayai bagi edaran pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Johari berkata dari Januari hingga 15 Julai lalu, pihaknya berjaya merampas 115 bungkusan mengandungi dadah bernilai lebih RM280,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan khidmat kurier melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada bulan ini sahaja,  bermula dari 1 Julai hingga 15 Julai, sembilan bungkusan berisi dadah jenis kanabis seberat 224.4 gram telah dirampas dan dianggarkan bernilai kira-kira RM5,000 di Pusat Mel dan Kurier KLIA,” katanya.

Menurutnya siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan dikirim dari Eropah dan diisytiharkan mengandungi pakaian, set alat solek dan cenderahati dengan penerimanya terdiri daripada individu di sekitar Lembah Klang.

Katanya dadah berkenaan dikesan hasil imbasan terhadap bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier dari luar negara itu.

Sumber: BERNAMA

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.