Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Marah Anak Tak Pandai Baca, Wanita Tampar Kedua-dua Pipi Anak Sehingga Lebam Didenda RM10 Ribu

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang menampar kedua-dua belah pipi anak perempuannya yang mengalami disleksia sehingga lebam kerana marah mangsa mendiamkan diri ketika disuruh membaca, didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 33 tahun menukar pengakuan kepada bersalah pada hari kedua perbicaraan kes itu.

Ibu tunggal itu didakwa dengan sengaja melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun dua bulan tersebut di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail di sini pada 8.30 malam hingga 9 malam 6 Nov 2019 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak merayu hukuman denda minimum kerana itu adalah kesalahan pertama anak guamnya yang berpendapatan RM3,800 sebulan

“Tertuduh masih penjaga kepada kanak-kanak itu dan dia menjaga serta mendidik anaknya sejak kecil. Anak guam saya juga tidak sengaja melakukan perbuatan itu dan kejadian ini adalah pertama kali berlaku sepanjang dia menjaga mangsa.

“Mahkamah perlu mengambil kira bahawa anak guam saya seorang ibu tunggal dan dia tertekan kerana perlu bekerja serta menyara anaknya. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman seringan-ringannya kerana tertuduh telah menyesal dan insaf atas perbuatannya itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran atas alasan tertuduh sepatutnya melindungi mangsa kerana dia adalah penjaga kanak-kanak itu.

“Tertuduh sepatutnya bersabar dalam mendidik anaknya yang mempunyai masalah pembelajaran iaitu disleksia. Hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas tertuduh agar ia dapat memberi pengajaran kepadanya dan orang di luar sana,” katanya.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu yang merupakan bapa kandung mangsa berada di pejabatnya pada 7 Nov 2019, dia telah menerima WhatsApp daripada seorang cikgu yang memaklumkan bahawa anaknya mempunyai kesan lebam di bawah mata sebelah kiri dan sedikit lebam di sebelah kanan.

Pengadu telah mengambil mangsa dari sekolah serta membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan serta bertanya kepada mangsa keadaan sebenar dan kanak-kanak itu memaklumkan bahawa tertuduh telah memukulnya pada malam 6 Nov 2019.

Tertuduh mengaku yang dia menampar muka sebelah kanan dan kiri mangsa sebanyak dua kali kerana marah apabila mangsa mendiamkan diri ketika disuruh membaca apa yang telah diajar.

Hasil pemeriksaan doktor ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua belah pipi mangsa akibat ditampar dan kecederaan itu masih baharu serta kurang daripada tempoh 24 jam.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.