Siakap Keli
bayi atas bumbung
Gambar: Info Kemalangan & Bencana Malaysia

Polis Ambil Keterangan Teman Lelaki Remaja Wanita Lahirkan Bayi Dijumpai Di Atas Bumbung

IPOH, 20 Julai (Bernama) — Pihak polis telah mengambil keterangan daripada teman lelaki remaja wanita yang melahirkan seorang bayi lelaki ditemukan di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata polis telah mengambil keterangan daripada remaja lelaki yang berumur 18 tahun itu di Selangor dan turut menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan berkaitan siasatan kes.

Menurut beliau pihaknya tidak menolak kemungkinan polis akan membuka siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol kekasih di bawah umur.

A Asmadi juga berkata polis telah mengambil keterangan daripada remaja perempuan berumur 16 tahun yang juga ibu bayi itu.

“Ibu bayi itu masih dalam keadaan lemah namun keterangan ke atasnya telah diambil untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan sebelum tindakan susulan diambil termasuk meneruskan pendakwaan dan sebagainya, bergantung kepada keadaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bayi lelaki yang dilahirkan cukup bulan itu ditemukan di atas bumbung rumah teres dua tingkat berkenaan pada Sabtu lepas serta mengalami kecederaan di kepala dan berada di dalam keadaan kritikal.

Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Kita sedang menunggu laporan lanjut daripada pihak doktor bagi mengetahui apa sebenarnya berlaku dan punca bayi mengalami kecederaan, sama ada tercampak atau disebabkan (suspek) kelam kabut ketika mengeluarkan bayi dari tingkap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A Asmadi berkata pihaknya menahan seorang pendawai dan merampas dadah jenis heroin seberat 1.35 kilogram bernilai kira-kira RM12,000 berhampiran Pusat Makanan di Lebuh Bercham Timur, Taman Seri Bercham di sini pada Sabtu lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh ketika sedang menunggu pembeli dengan menaiki motosikal jenis Honda Dash pada pukul 11 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam raga motosikal menemukan dadah jenis heroin yang dianggarkan berat keseluruhan 1.35 kilogram yang boleh digunakan oleh 800 penagih dadah,” katanya sambil menambah dadah itu diperoleh dari luar Ipoh.

Beliau berkata suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah kini direman selama tujuh hari bermula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.