Siakap Keli
Gambar: FB Baling Today Official

Van Kilang Rempuh Belakang Lori, Seorang Maut, 10 Cedera

Alor Setar: Seorang maut manakala 10 cedera apabila van pekerja kilang yang dinaiki mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah lori yang membawa muatan kayu balak di Kilometer 40, Jalan Sungai Petani-Baling, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa Awatif Md Mahtar, 33, seorang operator kilang di Pulau Pinang, maut di tempat kejadian, manakala pemandu lelaki berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah di kepala.

Gambar: FB Baling Today Official
Gambar: FB Baling Today Official

”Van jenis Toyota Hiace yang membawa 10 pekerja kilang dari arah Baling menghala ke Kulim itu dipercayai telah melanggar sebuah lori yang membawa muatan kayu balak berikutan terdapat kesan serpihan kayu di bahagian cermin hadapan dan di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

”Sembilan lagi mangsa yang kesemuanya wanita berusia antara 21  dan 33 tahun pula mengalami kecederaan ringan.

”Polis sedang mengesan lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Gambar: FB Baling Today Official

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.25 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

”Hanya van berkenaan yang berada di tempat kejadian dan terdapat 11 mangsa dengan lima tersepit,” katanya menambah kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian.

“Mangsa maut merupakan penumpang di bahagian hadapan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.