Siakap Keli

Dera Anak Angkat, Suri Rumah Didakwa

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak angkat perempuannya berusia enam tahun sehingga menyebabkan bengkak di atas lutut dan kesan parut di belakang badan serta jari tangan kiri.

Suspek 39 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid. Tertuduh kelihatan menangis dan resah di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding kes itu.

Ibu anak empat itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sentul pada Januari 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan suaminya seorang pekerja am.

“Saya tidak bekerja, anak angkat saya kini tidak tinggal bersama saya dan telah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Mahkamah  membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin  serta menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sumber: Bernama

Nor Azilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.