Siakap Keli

JKM Perak Buat Pemeriksaan Mengejut Di Taska, Pusat Jagaan

IPOH, 21 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak telah membuat pemeriksaan mengejut di 60 taman asuhan kanak-kanak (taska) dan 47 pusat jagaan di seluruh negeri bermula 25 April hingga 17 Julai lepas bagi memantau pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata dalam tinjauan itu, semua taska dan pusat jagaan mematuhi SOP ditetapkan seperti pemakaian pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Pihak pengurusan taska dan pusat jagaan juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau tahap kesihatan kanak-kanak di bawah seliaan mereka dan sekiranya bergejala, tindakan lanjut perlu diambil.

“Jika ada yang didapati demam, selesema dan sebagainya, kanak-kanak itu perlu diasingkan atau boleh merujuk terus ke pusat kesihatan atau hospital berdekatan,” katanya sambil menambah pihak JKM akan melakukan lawatan mengejut dari semasa ke semasa di semua taska dan pusat jagaan di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan pematuhan SOP PKPP di Taska KinderJoy, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Norashikin berkata bayi lelaki yang dipercayai dicampak dari tingkap sebelum terjatuh di bumbung di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini Sabtu lepas berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Selepas selesai semuanya dan kesihatannya pulih, biasanya (bayi itu) akan dirujuk kepada JKM. JKM ada tempat untuk menempatkan bayi seperti ini,” katanya dan menambah remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga ibu kepada bayi malang itu masih trauma dan kini dipantau dari segi kesihatan, emosi dan psikologi kerana berada di bawah umur.

 

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang