Siakap Keli

Mayat Wanita Dengan Kesan Tetakan Ditemukan Di Rawang

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Mayat seorang wanita dengan kesan tetakan ditemukan dalam ladang kelapa sawit berhampiran Kelab Golf Tasik Puteri di Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mayat dipercayai wanita berumur dalam lingkungan 40-an yang masih belum dikenal pasti identiti itu dijumpai pada kira-kira pukul 6.00 petang oleh penduduk tempatan.

“Tiada butiran diri dijumpai pada mayat berkenaan yang berpakaian lengkap, dan tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian. Polis tidak menolak kemungkinan wanita itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ada kesan tetakan ditemui pada bahagian muka, kepala dan tapak tangan mayat itu, dan berdasarkan pemeriksaan awal, wanita itu dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam lepas.

Katanya mayat ditemui dalam ladang sawit terbiar bersebelahan Kelab Golf Tasik Puteri, yang jaraknya kira-kira 400 meter dari jalan besar, dan ia telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh,” katanya.

 

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang