PUTRAJAYA, 21 Julai – Satu objek timbul dipercayai janin bayi ditemui dalam satu loji kumbahan sampah Indah Water di Sri Damansara, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, makluman tersebut diterima melalui laporan yang dibuat oleh seorang lelaki pekerja loji tersebut.
“Penemuan janin ini adalah berikutan daripada pekerja yang sedang melakukan pembersihan ‘inlet screen’ di loji kumbahan sampah tersebut, lalu ternampak satu objek seakan janin bayi cukup sifat.
“Sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya telah diarahkan ke tempat kejadian bagi mengesahkan penemuan tersebut, sebelum membungkus dan membawa janin itu ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit.
Suspek boleh dihukum penjara selama tempoh dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vanitha a/p Balakrishnan di talian 017-2229832,” tambah kenyataan itu lagi.


Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya