Siakap Keli

Tiada Lagi Amaran Atau Nasihat, PDRM Akan Ambil Tindakan Tegas Kepada Yang Langgar PKPP – Ismail Sabri

Tiada lagi amaran serta nasihat akan diberikan, sebaliknya pihak polis akan segera mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu sidang media perkembangan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) hari ini.

Katanya, tiada lagi amaran dan nasihat dari PDRM, tetapi mereka akan mengambil tindakan tegas kepada yang langkar perintah PKPP ini. Bukan itu sahaja, setiap SOP yang dilanggar juga akan dikenakan tindakan tegas oleh PDRM.

Jelasnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah aktiviti di dalam pub atau kelab malam dengan 37 kesalahan dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (43 kesalahan).

“Kelab malam dan pusat hiburan masih dalam senarai aktiviti dilarang. Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP.

“Ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan. Pasukan petugas khas operasi pematuhan PKPP akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata terdapat banyak laporan polis dan pasukan petugas operasi pematuhan PKPP terhadap premis makanan yang melakukan kesalahan melanggar PKPP antara lain adalah amalan penjarakan sosial oleh pelanggan.

Berikutan itu, beliau meminta setiap pemilik premis makanan untuk mengambil perhatian dan mematuhi SOP yang ditetapkan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

“Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pihak polis telah berjaya menahan 14 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen semalam.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk pendatang tanpa izin.

 

Sumber: Sidang media MKN

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang