Siakap Keli

Kerajaan Dalam Proses Wartakan Pemakaian Pelitup Separuh Muka – Timb. Menteri

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Kerajaan kini dalam proses akhir sebelum mewartakan arahan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang berbincang bagi menetapkan tarikh perwartaan itu yang dijangka tidak lama lagi.

“Sementara itu, kita galakkan orang ramai memakai mask (pelitup separuh muka di tempat awam),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir.

Katanya  perincian mengenai perkara itu akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

Media melaporkan susulan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di peringkat global, beberapa negara mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam, termasuk Singapura yang pada April lepas mewajibkan semua orang di negara itu berpelitup separuh muka apabila keluar rumah.

Sumber: Bernama

Nor Azilah