Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Parlimen: Penjarakan Sosial Jemaah Solat Jumaat Dikekalkan Buat Masa Ini

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Penjarakan sosial di antara jemaah dalam solat Jumaat akan dikekalkan buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berikutan penularan wabak COVID-19.

“Untuk menjustifikasikan hal ini kami telah merujuk ulama-ulama sedunia temasuk Syaikhul Al-Azhar dan Mufti Mesir serta ulama-ulama di Arab Saudi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang membangkitkan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) had jumlah jemaah solat Jumaat.

Zulkifli berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah bermesyuarat tujuh kali bagi membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan ibadah agama Islam.

Beliau berkata ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila jawatankuasa berkenaan duduk bermesyuarat dengan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat-mesyuarat itu, antaranya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan pihaknya dengan kerjasama MKN dan Kementerian Kesihatan.

Perkara itu antara lain meliputi mengenai kaedah pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan; kedudukan saf solat; pelaksanaan ibadah korban; solat sunat Aidilfitri; solat musafir; perkahwinan orang Islam secara  dalam talian; selain panduan hukum ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit COVID-19 dalam bulan Ramadan.

“Mengambil kira keperluan umat Islam untuk memahami wabak COVID-19 dengan lebih mendalam dari sudut agama, saya sendiri telah mengambil inisiatif mengarang dua buah buku iaitu ‘Inilah Doaku’ dan ‘Soal Jawab Fiqh COVID-19’.

Kedua-dua buku ini boleh didapatkan secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga dilaporkan lebih 50,000 pengunjung laman sesawang telah memuat turun buku-buku ini tidak termasuk yang disebarkan melalui medium-medium lain seperti WhatsApp dan Telegram Messenger,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu usaha-usaha yang dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu-isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story