Siakap Keli
Gambar Hiasan Bernama

Petani Didakwa Pijak, Tampar Dan Tendang Adik OKU

KAJANG, 22 Julai — Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan memijak bahagian dada, menampar muka serta menendang belakang adik lelakinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), bulan lalu.

S.M. Ananda Kumar, 46, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap S.M. Devakumar, 43, yang mengalami masalah pembelajaran, di sebuah rumah di Taman Cuepacs, Batu 9, Cheras pada 7 malam, 25 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Syahrul Sazly membenarkan Ananda Kumar diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Liyana Mohd Sulaiman.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha