Siakap Keli

Tak Sempat Nak Sampai Sekolah, Murid Darjah 3 Maut Kemalangan Terperosok Bawah Lori

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan Pancor, Durian Tunggal Melaka awal pagi tadi.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi itu menyebabkan pelajar tahun 3 Sekolah Kebangsaan Parit Melana tidak kesampaian untuk ke sekolah. Paling menyedihkan lagi, hari ini merupakan hari pertama persekolahan dibuka untuk pelajar tahun 1 hingga 4.

Mangsa yang dibonceng oleh bapanya yang berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Sri Pengkalan untuk ke sekolah sebelum kenderaan mereka dirempuh kenderaan lain dalam kejadian pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata kemalangan yang melibatkan empat kenderaan tersebut berlaku selepas sebuah kereta Proton Wira dari arah pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.

Katanya lagi kereta tersebut merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang berada di laluan tersebut. Bagaimanapun, lori berkenaan merempuh motosikal yang ditunggang bapa mangsa ketika mengelak daripada rempuhan tersebut.

Akibat daripada rempuhan tersebut, mangsa terperosok di bawah lori terbabit sebelum disahkan meninggal dunia manakala pemandu kereta itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala bapa mangsa dan pemandu kereta dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

 

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang