Siakap Keli

Terpaksa Tembak Tayar Akibat Lari, Lelaki Disyaki Bawa Dadah Diburu Polis

KUALA LUMPUR, 21 Julai  (BERNAMA) — Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki disyaki membawa dadah, di tepi Jalan Besar Kepong, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang semasa sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mengekori suspek yang memandu kereta Toyota Yaris berwarna putih dari Taman Tun Dr Ismail menghala ke arah Jinjang, Kepong.

“Sewaktu tiba di tepi Jalan Besar Kepong, polis membuat halangan dengan menggunakan dua buah kenderaan di bahagian hadapan serta belakang kereta suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Seorang anggota meluru ke kenderaan suspek dan menunjukkan kad kuasa, namun suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif, melarikan diri dengan memandu secara melulu ke arah anggota itu,” tambahnya.

Beliau berkata polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek demi mempertahankan diri serta untuk memberhentikan kenderaan, supaya tidak membahayakan orang awam yang lain, namun suspek dapat meloloskan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan,” katanya dan dan menambah siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang dipandu suspek didaftar atas nama sebuah syarikat sewa kereta.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.