Siakap Keli
Gambar Hiasan Bernama

Warga India Hilang Di Sungai Rajang Ditemukan Lemas

SIBU, 23 Julai — Seorang warga India yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Rajang berdekatan Tanjung Banyok di sini Isnin lepas ditemukan lemas lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Collin Babat berkata mayat Pandey Saurav, 21, ditemukan terapung berhampiran Kampung Serban Batang Lassa, Daro pukul 10.39 malam oleh dua orang penduduk rumah panjang kampung berkenaan, yang terletak lebih 50 kilometer dari lokasi kejadian.

“Penduduk kemudiannya menghubungi Balai Polis Daro untuk memaklumkan penemuan itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi penemuan kemudiannya mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Sibu dan identiti mangsa dikenal pasti oleh rakan sekerjanya sebelum bedah siasat dijalankan.

Pandey dari Lucknow, Uttar Pradesh, India, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Rajang ketika sedang bekerja di atas sebuah tongkang pasir berdekatan Tanjung Banyok di Pulau Kerto,  kira-kira pukul 10 pagi Isnin lepas.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha