Siakap Keli

Orang Ramai Diminta Lebih Berdisiplin Lupus Pelitup Muka Terpakai

KUCHING, 24 Julai — Orang ramai digesa agar lebih berdisiplin dalam melupuskan pelitup muka terpakai bagi mencegah penularan wabak COVID-19, lebih-lebih apabila pemakaian pelitup muka itu diwajibkan pada 1 Ogos ini di kawasan awam sesak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang merangkap Presiden Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, beliau kecewa dengan sikap ramai penduduk kawasan perbandaran itu yang menurutnya dengan sewenang-wenang membuang pelitup muka terpakai di atas lantai di kedai-kedai kopi atau dari atas kenderaan yang mereka naiki.

“Sikap ini amat mengecewakan dan perlu berubah kerana jika dibiarkan berterusan, ia tidak akan membantu kita dalam usaha melawan penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan mesin pengesan suhu badan di SJK Chung Hua Batu 10, Kota Padawan dekat sini.

Menurutnya orang ramai seharusnya lebih prihatin lagi dengan membungkus pelitup muka terpakai ini terlebih dahulu sebelum melupuskannya ke dalam tong sampah sebagai usaha bersama ke arah langkah membendung penularan penyakit ini.

Lo berkata beliau menyokong penuh rancangan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka di kawasan awam yang sesak dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos ini dan bersedia menggerakkan pasukan penguat kuasa MPP bagi melaksanakan peraturan ini kelak.

Sementara itu, selain menyerahkan mesin pengesan suhu badan bernilai RM3,600 sumbangan peribadinya di majlis hari ini, beliau turut menyerahkan 150 beg kepada pelajar sekolah dari keluarga kurang berkemampuan yang disumbangkan oleh Persatuan Gerakan Kemajuan Kota Padawan.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.