Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan: Bernama

Pekerja Asing Di Melaka Dibenar Tunai Solat Aidiladha Di Premis

Melaka: Pekerja warga asing di negeri ini dibenarkan melaksana solat sunat Aidiladha sesama mereka dalam kawasan premis masing-masing namun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata majikan yang menggaji warga asing boleh mengemukakan permohonan berhubung perkara itu kepada Jabatan Mufti Melaka sekiranya  membenarkan pekerja mereka berbuat demikian.

Beliau berkata kelonggaran itu diberi bagi membolehkan golongan berkenaan turut meraikan hari kebesaran umat Islam yang akan disambut pada Jumaat depan (31 Julai) namun warga negara asing masih tidak dibenarkan untuk hadir bersolat jemaah di masjid dan surau di negeri ini.

“Hanya jemaah berstatus warganegara Malaysia sahaja termasuk wanita dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha termasuk di surau-surau yang diberi kebenaran khas menunaikan solat Jumaat sebelum ini dan ia tertakluk kepada kapasiti ruang masjid dan surau.

Kanak-kanak di bawah 12 tahun juga masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini dan mana-mana surau lain yang ingin melaksanakan solat sunat Aidiladha ini perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Mufti Melaka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata masjid dan surau juga dibenarkan mendirikan khemah tambahan bagi memaksimumkan kehadiran jemaah tetapi perlu mengekalkan jarak sosial di dalam dan di luar masjid

Dalam pada itu, beliau menasihati umat Islam yang melaksanakan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan jenaka ketika membaca khutbah seperti yang pernah tular di laman sosial ketika solat sunat Aidilfitri yang lepas.

“Carilah kayu seakan menyerupai tongkat yang menggambarkan syiar dan jagalah adab serta akhlak seperti di garis syarak, walaupun ia perkara sunat, janganlah dijadikan ia bahan persendaan,” katanya.

Beliau juga turut mengingatkan umat Islam di negeri ini berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan badal haji pada tahun ini oleh pihak tertentu yang dilihat bukan sahaja meragukan, bahkan disifatkan sebagai cubaan menipu.

Ia berikutan Kerajaan Arab Saudi dilaporkan mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan SOP ketat bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.