Siakap Keli
Gambar: Daily Star

Rakaman Dua Remaja Lempar Kucing Berulang Kali Hingga Jatuh Terhempas Undang Kemarahan Netizen

Satu rakaman tular memaparkan dua remaja mencampak anak kucing ke arah dinding rumah mereka telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet.

Menurut akhbar Excelsior, kejadian tersebut berlaku di perbandaran Teapa, selatan Mexico.

Video rakaman tersebut menunjukkan dua remaja lelaki yang bergelak tawa sambil mengangkat anak kucing itu dengan memegang kaki belakangnya, lalu melambungkannya ke udara.

Sejurus selepas kucing tersebut jatuh, kucing itu dapat dilihat cuba lari dan menyembunyikan diri di sebalik perabot di rumah berkenaan. Pun begitu, penderitaannya tidak terhenti di situ.

Dalam klip kedua video tersebut, seorang lagi remaja yang terdapat dalam video itu cuba adegan yang sama dengan remaja sebelumnya. Namun kali ini, kucing berkenaan mendarat menggunakan kakinya. Kucing tersebut dapat dilihat seakan sakit dan tidak berdaya untuk menyorok ke tempat lebih jauh.

Lebih menghibakan, sepanjang penyiksaan itu berlaku, remaja-remaja tersebut dapat didengar bergelak tawa dan bergembira manakala kucing tersebut pula ‘meraung’ seakan merayu untuk dilepaskan.

Warganet yang menonton video tersebut ternyata tidak berpuas hati dengan perbuatan remaja-remaja terbabit sehinggakan ada yang dilaporkan telah menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan bagi mengheret si pelaku ke muka pengadilan.

“…mereka perlu diberikan pengajaran. Boleh sesiapa beritahu saya bagaimana keadaan kucing itu sekarang?”, tulis seorang warganet di Facebook.

“Saya harap pihak pendakwaan dapat melakukan tugas mereka dengan baik dan hakim mahkamah dapat memberikan hukuman yang semaksimum mungkin kepada pelaku-pelaku itu,” tulis seorang lagi warganet di Twitter.

Sumber: Daily Star

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa