Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

“Ramai Lagi Yang Lebih Layak…” Sugu, Pavithra Enggan Terima Sebarang Anugerah, Mahu Fokus Video Masakan

IPOH, 24 Julai (BERNAMA) — Pasangan Youtuber sensasi, S. Pavithra dan M. Sugu enggan menerima sebarang penganugerahan ikon susulan perselisihan faham yang berlaku dalam keluarga mereka selepas pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 baru-baru ini.

Pavithra, 28, yang diumum sebagai penerima anugerah ikon berkenaan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berkata mereka sebaliknya mahu menumpu kepada penghasilan video masakan menerusi saluran Youtube seperti biasa.

“Saya tidak layak untuk menerima pengiktirafan ikon Perak atau apa-apa pengiktirafan lagi selepas ini.

“Ramai lagi yang lebih layak kerana berbakat dalam pelbagai bidang untuk menerima pengiktirafan itu, jadi janganlah pilih kami,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri pendakwaan suaminya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Sugu, 29, didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah berkenaan hari ini kerana memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Selasa lepas.

Ibu kepada dua anak itu berkata penolakan pengiktirafan itu juga bertujuan untuk mengelakkan orang ramai daripada berasa iri hati terhadap kehidupan mereka sehingga menimbulkan perselisihan faham.

Pavithra berkata beliau telah memaafkan Sugu dan mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan normal bersama keluarga tanpa dikenali orang ramai seperti dahulu termasuk tidak mahu melibatkan diri dengan mana-mana ahli politik.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.