Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tujuh Lelaki Termasuk Tiga Anggota Polis Didakwa Samun Kedai Pengurup Wang

GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) — Tujuh lelaki termasuk tiga anggota polis berpangkat  rendah   mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan pistol di sebuah premis pengurup wang,  di sini minggu lepas.

Tiga anggota polis itu Lans Koperal Nazarudin Abdul Manan, 36; Koperal Khairul Hisham Hamzah, 42; dan Koperal Wan Abd Rahim Md Shariff, 36, yang bertugas di Perak serta Wan Abd Rahman Md Shariff, 36; Mohamad Sahar Ismail, 43, dan dua warga Indonesia Guno Sutowo, 24, serta Iis Sutejo, 29, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mereka didakwa bersama-sama telah melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan pistol ke atas M.S.K.M. Mohamed Haniffa Forex Sdn Bhd di No 59 Jalan Masjid Kapitan Keling  di sini pada pukul 9.45 malam, 14 Julai lepas dengan menyamun pelbagai mata wang kertas dan syiling serta sebuah projektor yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM42,700.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar tidak menawarkan wang jaminan terhadap kesemua tertuduh namun peguam Mohd Khairul Hafizuddin yang mewakili tiga anggota polis itu dan Wan Abd Rahman yang merupakan kembar kepada Wan Abd Rahim, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak ada potensi untuk melarikan diri, lebih-lebih lagi jika mereka dikenakan syarat tambahan.

Tertuduh Mohamad Sahar yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah atas alasan bekerja sebagai pekerja kilang dan dia menanggung empat orang anak dengan seorang anak masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tiga anggota polis itu, Wan Abd Rahman dan Mohamad Sahar masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang berserta syarat tambahan mereka diperintah melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, mereka juga dilarang untuk mengganggu mangsa, pengadu dan saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap dua warga Indonesia yang masing-masing tidak diwakili peguam itu berikutan mereka tidak mempunyai dokumen yang lengkap.

Mahkamah turut menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right