Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Maut Dipanah Petir Ketika Sedang Kait Buah Kelapa Sawit

Kuala Berang: Seorang buruh warga Indonesia maut dipercayai dipanah petir ketika sedang mengait buah kelapa sawit di Ladang Tersat, Hulu Terengganu di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata mangsa, Maniadi, 40, dikatakan telah pergi mengait buah sawit bersama rakannya sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring pada pukul 2.50 petang.

”Mangsa kemudiannya dibawa balik ke rumah kongsi yang berada pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi kejadian oleh dua rakannya menggunakan motosikal.

”Mangsa dipercayai telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan terbakar di telapak tangan kanan akibat terkena panahan petir semasa mangsa mengait buah kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Adli berkata pihak polis tidak menemui sebarang kecederaan akibat daripada perbuatan jenayah pada badan mangsa.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.