Siakap Keli

Hanya 10 Ekor Haiwan Sembelihan Sahaja Dibenarkan Dalam Satu-satu Masa Ibadah Korban – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 27 Julai – Kerajaan memutuskan jumlah lembu atau haiwan sembelihan untuk aktiviti ibadah korban Aidiladha tahun ini tidak boleh melebihi 10 ekor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had tersebut bergantung kepada keluasan lokasi tapak penyembelihan.

“Bagaimanapun, walaupun dibenarkan melakukan sembelihan, kerajaan menggalakkan supaya melakukan sembelihan korban di rumah-rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan swasta,

“Di Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada 28 buah pusat sembelihan, manakala swasta ada 31 buah pusat sembelihan. Jadi lebih baik digalakkan buat di pusat sembelihan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, jumlah kehadiran orang awam sewaktu ibadah korban tersebut adalah berpandukan nisbah hanya 20 orang untuk satu (1) ekor lembu (20:1), merangkumi penyembelih, tukang lapah, tukang potong daging, pengedar dan sebagainya.

Dalam pada itu, jamuan makan berkonsepkan kenduri untuk petugas-petugas sembelihan adalah tidak dibenarkan.

“Biasanya ada jamuan makan, kenduri dan sebagainya tidak dibenarkan, kecuali makanan berbungkus, petugas-petugas yang bertugas boleh makan tapi bungkus saja, tiada kenduri-kendarat,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, ibadah korban boleh dijalankan selama empat (4) hari, bermula hari pertama dan berterusan sehingga tiga hari tasyriq.

“Cuma tahun ini jatuh pada hari Jumaat, masa terhad, (jadi) digalakkan lakukan korban pada hari kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Menurut Ismail, jamuan di rumah pula tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

“Individu yang jalani kuarantin, dilarang sekali keluar rumah, tidak boleh balik kampung, tidak boleh solat sunat Aidiladha dan tidak boleh terima tetamu di rumah.

“Jika ada individu pakai gelang, orang ramai diminta lapor polis serta-merta,” jelas Ismail lagi, selain turut menyatakan aktiviti ibadah korban tersebut akan dipantau di bawah pemerhatian pihak polis.

Prosedur operasi standard (SOP)  yang ditetapkan ini terpakai di wilayah persekutuan, bagaimanapun turut boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.