Siakap Keli
Gambar: Bernama

Panjat Pagar Mahkamah: Seorang Lelaki Ditahan – Polis

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memanjat pagar untuk masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

Lelaki yang memakai baju berwarna merah jambu itu ditahan anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan di sekitar kawasan itu kira-kira pukul 6.15 petang, dan dia kemudiannya dilihat dibawa ke pondok pengawal untuk disoal siasat sebelum dibawa ke balai polis dengan kereta peronda.

Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu adalah antara ratusan penyokong ahli Parlimen Pekan itu yang tiba di mahkamah seawal pukul 5.45 pagi untuk mendengar keputusan hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shamugamoorthy Chinniah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

”Suspek berusia 33 tahun itu cuba memanjat pagar masuk ke perkarangan mahkamah dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Najib, 67, bekas perdana menteri, didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right