Siakap Keli

10 Petua Kena Tahu Sebelum Upah Kontraktor Nak “Renovate” Rumah, Elak Menyesal & Ditipu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dalam hasrat mahu merenovasi rumah kediaman, perkara penting yang perlu kita fikirkan adalah ‘puas hati’.

Puas hati di sini bermaksud, segala perancangan, kos, teknikal, tempoh masa, risiko dan sebagainya adalah bertepatan dengan apa yang kita mahu.

Menambah ruang dapur untuk keselesaan memasak misalnya, kita pasti sudah tahu selesa yang bagaimana kita mahu kontraktor itu buat.

Sama juga dengan hal-hal berkaitan harga, ia sudah tentu melibatkan sejumlah kos yang besar.

Kalau projek renovasi yang dijalankan tidak selari dengan kehendak kita, tidakkah itu satu kerugian yang besar?

Seorang ahli group Facebook Tukang Apa Hari Ini berkongsi 10 ‘petua’ bagaimana kita mahu memastikan projek renovasi itu berjalan sehingga kita betul-betul puas hati.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Gambar sekadar hiasan.

Langkah-langkah untuk buat apa-apa projek di rumah anda:

1. Panggil seorang tukang datang ke rumah untuk tengok kawasan / site

Ini adalah perkara pertama sekali yang perlu dibuat. Adalah lebih bagus sekiranya kita sudah kenal dengan mana-mana tukang yang terjamin dan dipercayai kualiti servisnya.

2. Bagitahu apa yang nak dibuat

Jelaskan pada tukang, projek apa yang kita nak buat. Contohnya, nak buat sistem perwayaran (wiring) ke, tambah dapur ke, baiki bumbung ke dan sebagainya. Tujuannya supaya tukang jelas apa yang dia perlu buat.

3. Buka harga / sebut harga

Lepas tengok kawasan dan jenis projek, tuan rumah (kita) atau tukang akan mula buka harga, sama ada tukang tanya berapa bajet kita atau dia sendiri yang akan bagi ‘rough value’.

4. Jelaskan spesifikasi projek

Apabila tuan rumah sudah dapat harga kasar projek, minta tukang jelaskan apa spesifikasi projek yang dia nak buat. Contohnya, kalau projek wiring, tanya dia berapa point nak buat, berapa ukuran saiz diameter wayar yang digunakan dan sebagainya.

Merujuk saiz wayar, ada yang 1.5 milimeter, 2.5 milimeter dan 4 milimeter. Masing-masing ada kegunaanya yang tertentu. Seringkali terjadi apabila tukang menipu dalam perbincangan, asalnya berjanji mahu menggunakan wayar saiz 4 milimeter, tapi rupa-rupanya guna 2.5 milimeter. Tidak kurang pula, sanggup caj harga saiz 4 milimeter sedangkan kita patut bayar harga saiz 2.5 milimeter. Hasilnya? wiring rumah cepat terbakar.

Begitu juga jika projek pasang tiles, kena tanya dia semula; adakah perlu untuk ketuk balik simen, nak pakai tiles jenis apa dan sebagainya.

Gambar sekadar hiasan.

5. Catat spesifikasi projek

Pastikan spesifik projek yang dinyatakan itu dicatat, supaya kita boleh buat rujukan semula pada masa akan datang. Ataupun, boleh juga buat pertimbangan semula sama ada nak teruskan projek tersebut dengan spesifikasi yang dicadangkan ataupun tidak.

6. Bagi buah tangan

Walaupun tukang datang ke rumah kita atas urusan kerja, namun dia tetap dikira tetamu. Sebagai seorang manusia yang hidup bermasyarakat, adalah tidak salah sekiranya kita ‘ringankan’ tangan untuk hidangkan air atau jamu sedikit makanan sebelum dia beredar.

7. Bincang projek dengan orang yang ‘mahir’

Selepas selesai berurusan dengan tukang, kita perlu merujuk hasil perbincangan projek itu kepada mana-mana individu berkemahiran dalam pertukangan yang kita kenal. Mungkin dia lebih faham dan boleh bagi pandangan tersendiri sejauh mana kesesuaian projek, spesifikasi, tempoh masa, peralatan dan kadar sebut harga yang kita dapat itu.

8. ‘U-turn’ kalau harga tidak memuaskan

Tidak salah sekiranya kita mengambil langkah untuk membatalkan projek dengan tukang tersebut, atas sebab harga servis yang ditawarkan mungkin tidak memuaskan. Sekiranya benar tidak bersetuju, maka perlu ulang semula langkah pertama tadi.

Gambar sekadar hiasan.

9. Ulang-ulang buat perbandingan sampai puas hati

Ulang semua langkah di atas sampai kita betul-betul puas hati. Tapi dalam masa sama, kena tengok betul-betul. Lain tukang, lain harganya sebab spesifikasi projek pun berbeza. Jangan ingat apabila dapat harga murah, kita sudah ‘menang’. Tidak dinafikan, kadang-kadang spesifikasi yang kita bakal dapat itu boleh jadi kurang berkualiti dan ‘low class’.

10. Bersedia benda tidak dijangka

Ini bahagian paling penting yang kita kena hadam. Apabila projek sudah mula, kadang-kadang kita selaku tuan rumah kena bersedia sekiranya berlaku kenaikan harga tiba-tiba, mungkin 10 peratus berbanding harga asal. Kenapa? kerana ada masalah dan perubahan dalam projek yang tidak dijangka.

Contohnya, tukang nak pasang tiles. Baru nak ketuk simen, rupa-rupanya baru perasan di bawah lantai ada lubang besar. Kalau tidak pun, ada sarang koloni serangga musuh rumah; anai-anai. Jadi, tidak dapat tidak, kerja-kerja penyelenggaraan semula dijalankan dan kos terpaksa dinaikkan. Jangan terkejut, ia adalah perkara normal dalam mana-mana projek renovasi.

Apa yang kita kena buat ialah beritahu tukang awal-awal, maklumkan terus siap-siap sekiranya ada kenaikan kos untuk masalah yang tidak dijangka. Jangan projek dah siap baru nak bagitahu.

Sekian sahaja petua ringkas bagaimana nak upah tukang buat projek di rumah kita.

10 langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang penipuan, ketidakjelasan dalam tawaran harga atau caj tersembunyi, tidak puas hati dengan projek dan sebagainya.

Jika projek sudah siap, tapi waktu itu baru nak ‘membebel’, segalanya sudah tidak bermakna lagi.

Sumber: Tukang Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.