Siakap Keli
Kredit: Google

Bunyi Tapi Tak Rasa Angin ‘Lalu’, Mufti Jawab Mengenai Was-was Terasa Macam Kentut Dalam Solat

Antara perkara membatalkan wuduk menurut kitab Al-Taqrirat Al-Sadidah ialah keluar sesuatu melalui qubul dan dubur, hilang akal, bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) serta menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan.

Biarpun kesemua tanda ini jelas, kadangkala dalam sesetengah situasi, kita mungkin berasa ragu-ragu sama ada wuduk sudah terbatal ataupun tidak terutamanya ketika sedang ‘menahan angin’ keluar dari badan (kentut).

Bagi anda yang pernah dalam situasi itu, berikut merupakan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai was-was kentut ketika solat.

Soalan

Assalamualaikum. Bagaimana kentut yang tidak berbunyi? Terima kasih, Admin.

Keadaan yang saya alami adalah sama seperti keadaan perut berbunyi ketika lapar. Di mana, bunyi itu di kawasan punggung tetapi saya tidak merasa apa-apa sentuhan di lubang dubur tempat angin keluar. Kejadian ini berlaku ketika saya tengah nak menahan kentut.

Jawapan

Waalaikumussalam wbt,

Berkenaan perkara ini, terdapat hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.

Hadis riwayat Imam Bukhari (137)

Justeru, kalau tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata. Kadang-kadang kerana ada angin yang terperangkap di celah punggung tetapi bahagian luar. Itu bukan kentut.

Kadang-kadang juga dirasai gas di bahagian hujung dalam dubur itu naik ke usus, membuatkan ada rasa sensasi di bahagian hujung. Itu juga bukan kentut.

Maka yang penting dalam isu ini ialah keyakinan bahawa memang ada hadas yang keluar, lalu membatalkan wuduk dan solat. Jika tiada maka kekallah hukum asal bahawa seseorang itu masih dalam keadaan suci.

Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.