Siakap Keli
Kredit: Google

Kementerian Cadang Pinda Akta Kerja 1955 Bagi Waktu Kerja Fleksibel, Sesuai Norma Baharu Pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Pengenalan cuti paterniti, peningkatan tempoh cuti bersalin, sistem aturan kerja fleksibel dan penambahbaikan pelindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja adalah antara perkara yang dicadang dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata cadangan meminda Akta Kerja 1955 itu adalah bagi menambah baik standard minimum pekerjaan, selaras dengan standard perburuhan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu dalam memperkemas pelaksanaan waktu kerja yang lebih fleksibel dalam membantu pekerja mendapat bayaran gaji yang setimpal, kementerian juga bercadang untuk mewujudkan peruntukan baharu berhubung sistem aturan kerja fleksibel di bawah Akta Kerja 1955, bersesuaian dengan pasca-COVID-19 yang mana norma baharu akan kita cadangkan.

“Peruntukan ini juga akan memperincikan berhubung permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja berhubung dengan fleksibiliti pekerja berkenaan termasuk jam dan hari bekerja serta tempat pekerjaan berdasarkan syarat tertentu yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata usaha itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos seseorang pekerja dalam menjalankan tugas selepas ini.

Awang berkata demikian bagi menjawab soalan Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mengkaji undang-undang buruh dan memperbaharui pasaran buruh.

Menjawab soalan tambahan Jugah sama ada kerajaan merancang menawarkan gaji yang lebih baik kepada rakyat Malaysia, Awang berkata sehingga kini 56 majlis bandar raya dan majlis perbandaran telah melaksanakan kadar gaji minimum RM1,200 sebulan dan usaha untuk memastikan semua pihak melaksanakan kadar gaji yang sama akan diteruskan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.