Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Cadang Wujud Undang-Undang Baharu Lindungi Pekerja Ekonomi Gig

KUALA LUMPUR, 29 Julai  — Kerajaan bercadang mewujudkan satu undang-undang khusus bagi mengawal selia pekerja ekonomi gig di negara ini.

Kementerian Sumber Manusia berkata memandangkan kesukaran memastikan wujudnya elemen kontrak perkhidmatan dalam pekerjaan ekonomi gig tersebut, peruntukan-peruntukan Akta Kerja 1955 semasa tidak begitu sesuai digunakan dalam mengawal selia pekerjaan mereka.

“Kerajaan juga tidak bercadang untuk meminda Akta Kerja 1955 bagi menyesuaikan dengan kaedah pekerjaan ekonomi gig,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan tersebut adalah bagi menjawab pertanyaan daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) yang bertanyakan tentang kerangka perundangan sedia ada untuk melindungi pekerja ekonomi gig dan rancangan penambahbaikan perundangan sedia ada memandangkan wujud perkembangan terkini dengan adanya ekonomi gig.

Menurut kementerian itu, kerajaan juga memutuskan supaya golongan yang terlibat dalam pekerjaan sektor berkenaan diberi perlindungan sewajarnya.

“Pada masa ini, kerajaan sedang mengkaji beberapa opsyen untuk mengawal selia pekerja ekonomi gig dalam aspek pekerjaan dan keselamatan sosial. Antara opsyen yang dikaji adalah kebolehpakaian undang-undang buruh sedia ada seperti Akta Kerja 1955 untuk mengawal selia pekerja ekonomi gig,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu turut mengutamakan sifat kerja golongan ini yang berbeza daripada pekerja sektor formal biasa dan pemakaian undang-undang buruh hendaklah tidak menjejaskan fleksibiliti bagi pekerja dan syarikat dalam ekonomi gig.

Dari aspek keselamatan sosial, pekerja yang terlibat dalam sektor tersebut dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789].

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right