Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lanjutan Moratorium Bukti Kerajaan Komited Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Julai  —  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)  menyifatkan pelanjutkan moratorium jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya mereka yang berada dalam kesempitan ketika ini.

Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Cuepacs juga memuji komitmen bank dan institusi kewangan di negara ini yang sanggup bersama kerajaan dalam mengharungi waktu sukar.

“Dalam masa yang sama kita berharap agar proses pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini tidak dirumitkan dengan kerenah birokrasi yang akan menyulitkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya Cuepacs mencadangkan agar Bank Negara menetapkan satu standard yang boleh diguna pakai oleh semua bank serta institusi kewangan di negara ini bagi memastikan tiada syarat atau kerenah birokrasi dilakukan oleh insitusi kewangan tanpa pengetahuan kerajaan hingga menyulitkan rakyat.

Beliau berkata pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right