Siakap Keli
Gambar: Bernama

PSI, Tarek Obaid Mohon Pinda Perintah Interim Yang Diperoleh Kerajaan

KUALA LUMPUR, 29 Julai — PetroSaudi International  Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid memohon untuk meminda perintah interim yang diperoleh kerajaan bagi menghalang mereka daripada memindahkan lebih US$340 juta, yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disimpan dalam akaun pelanggannya di firma undang-undang di United Kingdom, ke entiti lain.

PSI dan Tarek menfailkan permohonan bagi meminda perintah interim berkenaan pada 24 Julai.

Kes itu muncul untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pandaftar Mahyuddin Md Som di kamarnya hari ini, yang turut disertai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan yang mewakili kerajaan dan peguam Alex Tan, yang mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Incorporated in Barbados) (PSOS-VZ).

Mahyuddin kemudiannya menetapkan 12 Ogos untuk mendengar permohonan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 16 Julai lepas hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah interim untuk menyekat PSI dan Tarek daripada memindahkan lebih US$340 juta itu ke entiti lain.

Mahkamah membenarkan permohonan itu, yang akan dikuat kuasa sehingga selesai kes permohonan utama pada 28 Ogos ini.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai, kerajaan memohon perintah bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah US$340,258,246.87 milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang dipegang oleh Clyde & Co LLP.

Kerajaan juga memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Kedua-dua wang yang dinyatakan dan tidak dinyatakan jumlahnya itu adalah milik PSOS-VZ yang dimiliki sepenuhnya oleh Tarek melalui PSI.

Permohonan yang difailkan menurut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan yang disokong oleh afidavit yang diperakukan oleh  Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz.

Mohd Afiq berkata beliau merupakan antara pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan berhubung 1MDB dan semasa menjalankan tugasnya beliau telah menemukan maklumat yang mendorongnya untuk mempercayai dan mengesyaki bahawa aset yang disimpan di luar negara adalah hasil aktiviti haram

Katanya, beliau mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa wang berjumlah US$340,258,246.87 setakat Februari 2019 yang kini disimpan dalam akaun escrow Clyde & Co bagi pihak PSOS-VZ, merupakan sebahagian daripada perkara atau bukti yang berkaitan dengan konspirasi untuk menipu yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tarek, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan individu lain yang ada kaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya.

Mohd Afiq berkata permohonan di bawah AMLATFPUAA untuk menyekat wang itu adalah wajar sehingga mahkamah dapat menentukan secara sah sama ada wang tersebut adalah milik 1MDB.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right