Siakap Keli

Seorang Lelaki Dipercayai Dilanggar & Diseret Sebelum Dibunuh Rakan

BUTTERWORTH, 29 Julai – Seorang penunggang motosikal ditemukan mati dalam keadaan  berlumuran darah selepas dipercayai dilanggar dan diseret dengan sebuah kereta sebelum dipukul oleh rakan mangsa dalam kejadian di Taman Dahlia, Mak Mandin, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa, Lau Weng Heng, 43, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dalam kejadian jam 5.30 pagi itu.

“Pihak polis pada mulanya menerima laporan daripada penduduk di situ berhubung kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta Proton Wira di Lorong nombor 3 taman perumahan dua tingkat tersebut.

“Sepasukan polis terus ke lokasi kejadian dan pemeriksaan awal mendapati terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha 135 Lc warna hitam bersebelahan mangsa dan pemeriksaan ke atas mayat terdapat kecederaan di beberapa bahagian badan serta kepala dipercayai dipukul,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, maklumat awal daripada jiran mengatakan mangsa yang sedang menunggang motosikal di kawasan itu telah dilanggar dengan sebuah kereta Proton Wira dipandu rakannya itu.

Noorzainy berkata suspek kemudiannya mengheret mangsa beberapa meter dengan kenderaannya sebelum terhenti kerana terkena sebuah kereta Perodua Myvi yang diparkir di tepi jalan.

Beliau berkata suspek kemudiannya turun daripada kereta dan memukul mangsa bertubi-tubi dipercayai menggunakan kayu berdasarkan terdapat kesan serpihan kayu di kawasan kejadian.

“Polis percaya mangsa tidak terus mati selepas dilanggar dan diseret dalam kemalangan itu namun dia maut akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek berdasarkan kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian badan lelaki tersebut,” katanya.

Noorzainy berkata tindakan pantas polis akhirnya berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 8.30 pagi, kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar lelaki berusia 36 tahun itu bertindak membunuh rakannya kerana suspek enggan mendedah punca sebenar ia berlaku.

Kedua-dua lelaki yang tidak bekerja itu masing-masing mempunyai lapan dan lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, suspek akan direman untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang