Siakap Keli
Gambar: Bernama

Solat Sunat Aidiladha Di Selangor – Siapa Dahulu Dia Dapat

SHAH ALAM, 29 Julai  — Perlaksanaan solat sunat Aidiladha, Jumaat ini di semua masjid dan surau di Selangor akan dibuat pada pukul 8.00 pagi dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka, sehingga kapasiti jemaah sebenar ruang solat dipenuhi, dan jarakan sosial dipatuhi.

Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan agar pelaksanaan solat sunat itu dijalankan menggunakan kaedah berkenaan dengan peraturan jarakan sosial 1.5 meter dipatuhi, kecuali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang menggunakan sistem E-Pass.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid dan surau di negeri ini adalah pada pukul 8.00 pagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu kehadiran jemaah wanita hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan had jemaah seramai 220 orang manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula seramai 250 orang di ruang solat khas masing-masing.

“Jemaah  dinasihatkan untuk kekal berdisiplin dan mematuhi langkah-langkah pencegahan iaitu perlu berada dalam keadaan berwudhuk, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, berada dalam keadaan sihat dan tidak berjabat tangan dalam kalangan jemaah,” menurutnya.

Kenyataan itu memaklumkan seperti yang telah dititahkan oleh Sultan Sharafuddin sebelum ini iaitu pelaksanaan ibadah korban hanya akan dilaksanakan di di masjid negeri, masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid institusi, masjid kariah atau tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak masjid.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right