Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Bayi Terpisah Lima Bulan Dijangka Pulang Ke Pangkuan Ibu Bapa Sabtu Ini

PATTANI, Julai 30 (Bernama) — Bayi lelaki yang terpisah selama lima bulan daripada ibu bapanya warga Thailand akibat pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan Thailand-Malaysia, dijangka pulang ke pangkuan keluarga di Pattani selatan Thailand pada Sabtu ini.

Anak bongsu pasangan Nurhalisa Jehawae, 18, dan suaminya, Muhammad Tifyoleah, 28, yang berasal dari Pattani, dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang, Selangor, Malaysia pada 27 Feb lalu.

Pasangan itu terpaksa meninggalkan bayi tersebut, yang perlu ditempatkan di hospital untuk pemantauan doktor, bagi memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh pada 18 Mac.

Berikutan pandemik COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat masuk semula ke Malaysia untuk mengambil anak mereka yang berada di Hospital Kajang.

Nurhalisa, seorang pembantu kedai makan di Kajang, mendakwa mereka telah terputus hubungan dengan pihak hospital apabila nombor telefon hospital hilang.

Pasangan itu hanya mengetahui keadaan anak bongsu mereka selepas dihubungi pihak kedutaan.

Melalui bantuan dan derma orang ramai, pasangan itu berjaya mengumpul wang untuk membayar bil hospital termasuk kos bersalin yang berjumlah hampir RM30,000.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) Laksamana Muda Somkiart Polprayoon berkata Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur sedang membuat persediaan untuk membawa pulang bayi lelaki yang terpisah daripada keluarganya.

“Proses pendaftaran sudah selesai semalam. Bil hospital akan dilunaskan hari ini. Bayi itu akan dihantar ke sempadan Thailand-Malaysia dengan sebuah ambulans yang disewa khas. Pasukan perubatan hospital akan bersama bayi itu.

“Bayi itu dijangka tiba Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla pada Sabtu ini dan akan diserahkan kepada ibu bapanya,” katanya.

Beliau berkata bayi itu dan ibunya  akan dibawa ke Hospital Pattani untuk menjalani kuarantin wajib.

Nurhalisa mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang bayi lelakinya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.