Siakap Keli
Foto: Google

Boleh Ke Beri Daging Korban Sebagai Upah Kepada Penyembelih & Tukang Lapah? Ini Penjelasan Mufti

Setiap tahun, umat Islam pasti akan menyambut sambutan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan aktiviti ibadah korban.

Selain itu, aktitiviti tersebut sudah tentulah melibatkan ramai pihak untuk melaksanakannya, daripada peringkat pembekal lembu, penyumbang tajaan, tukang sembelih, tukang lapah, tukang timbang, tukang edar hinggalah ke penerima.

Menyentuh berkenaan urusan penyembelihan, isu yang sering kali berlegar setiap tahun adalah tukang lapah daging yang mengambil atau menyimpan ‘siap-siap’ sebahagian daging atau tulang untuk diri sendiri dan dianggap sebagai upah.

Persoalannya, wujudkah terma ‘upah’ bagi pelapah daging dalam Islam daripada sudut fatwa?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah membahaskan isu ini melalui Irsyad Al-Fatwa Haji Dan Korban Siri 16: Hukum Memberikan Daging Korban Sebagai Upah Penyembelih.

Mari ikuti penjelasan mufti di bawah ini.

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 16: HUKUM MEMBERIKAN DAGING KORBAN SEBAGAI UPAH PENYEMBELIH

Soalan:

Bolehkah memberikan upah berupa daging korban kepada penyembelih dan juga pelapah daging? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat sebuah hadith yang sahih berkenaan persoalan di atas yang mana menunjukkan terdapat larangan untuk diberikan upah kepada penyembelih daripada bahagian daging korban itu. Ianya hadith yang telah diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA iaitu:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar tidak memberi daging daripadanya sebagai upah kepada penyembelih dan juga pelapahnya.

Riwayat Al-Bukhari (1716) & Muslim (1317)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA yang mengatakan:

“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Berkenaan hadith di atas, al-Imam al-Son’ani Rahimahullah di dalam kitabnya Subul al-Salam ada memberikan komentar terhadapnya dengan mengatakan:

Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.”

[Lihat Subul al-Salam. Dar al-Hadith, 2/537]

Seterusnya, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah kepada hadith-hadith di dalam Sahih Muslim dengan mengatakan:

Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-Jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie, Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan hadyu dan bersedekah dengan harganya”.

[Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/65]

Pendapat yang sama juga diulangi oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu Syarh al-Muhazzab.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas dengan melihat kepada dalil dan juga pendapat para ulama’ mengenainya, maka kami katakan di sini bahawa tidak dibolehkan untuk memberikan upah berupa bahagian korban kepada tukang sembelih.

Adapun penyelesaian yang boleh difikirkan untuk diberikan kepada penyembelih adalah berdasarkan perkataan ‘Ali bin Talib RA sepertimana di dalam riwayat Muslim iaitu upah diberikan kepada penyembelih menggunakan harta dari empunya korban/organisasi dan bukannya dari bahagian korban.

Pihak masjid juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat dan kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut. Begitu juga kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti kos pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan.

Adapun daging, maka ianya tidak boleh dijadikan upah buat tukang sembelih.

Tetapi, sekiranya tukang sembelih itu sendiri termasuk dari kalangan fakir miskin maka pemberian daging korban kepadanya dibolehkan atas dasar dirinya sebagai seorang fakir miskin di samping upah menyembelih yang diberikan bukan dari bahagian korban.

Begitu juga diharuskan untuk orang yang berkorban sendiri itu memberikan daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai hadiah kerana itu merupakan hak orang yang berkorban. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Muft Wilayah Persekutuan

7 September 2016 bersamaan 5 Zulhijjah 1437 H.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.