Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: AFF Tunda Piala Suzuki AFF 2020 Ke Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Peningkatan jumlah kes COVID-19 di rantau ini dan juga seluruh dunia telah memaksa Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menangguhkan Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2020 ke tahun 2021.

Presiden AFF Mej Jen Khiev Sameth berkata keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mengadakan perbincangan secara maya dengan ahli gabungannya, hari ini.

Beliau berkata badan pentadbir bola sepak itu telah mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keselamatan dan kesihatan semua pihak, khususnya pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai, sebelum membuat keputusan.

“Sejak bermulanya penularan COVID-19, AFF telah memantau panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Seperti yang anda sedia maklum, pandemik ini terus memberi cabaran yang sangat besar khususnya dari segi kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita semua. Keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan keluarga bola sepak kita dan mengurangkan kesan pandemik ini. Dengan risiko penularan COVID-19 yang semakin meningkat, AFF tidak boleh meneruskan Piala Suzuki AFF 2020,” kata Sameth.

Menurut beliau, AFF akan terus bekerjasama erat dengan ahli gabungan dan rakan kongsi mereka untuk memantau situasi pandemik dan akan memberikan maklumat terkini mengenai tarikh dan perincian lain berkaitan edisi 2021 Piala AFF Suzuki.

Presiden Sportfive bagi Asia Pasifik Adrian Staiti menyambut baik keputusan yang dibuat AFF dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

Sportfive adalah rakan kongsi komersial eksklusif untuk Piala AFF Suzuki.

“Walaupun kami agak kecewa kerana tidak dapat mengadakan kejohanan itu tahun ini, kami akan sentiasa bekerjasama dengan AFF untuk memantau keadaan dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk menganjurkan kejohanan yang terbaik untuk peminat di rantau ASEAN tahun depan,” kata Staiti.

Berdasarkan jadual awal, Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2020 dijadualkan berlangsung dari 23 Nov hingga 31 Dis menggunakan format timbal balik seperti yang diperkenalkan pada 2018.

Thailand adalah pasukan paling cemerlang dalam pentas Piala Suzuki AFF dengan muncul sebagai juara sebanyak lima kali iaitu pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Sementara Malaysia muncul sebagai juara pada 2010 di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right