Siakap Keli
Kredit: Google/Rare Historical Photos/NWI Times

Foto 1948 Papar Ibu Iklankan Anak Untuk Dijual, Dipercayai Untuk Kelangsungan Hidup

Dalam sekeping gambar yang muncul pertama kali dalam akhbar The Vidette-Messenger of Valparaiso, Indivana pada Ogos 1948, kelihatan seorang ibu meletakkan papan tanda “4 Children for sale” yang bermaksud “Empat anak untuk dijual”.

Berhampiran papan itu ialah empat orang kanak-kanak comel yang mungkin belum mengerti kepayahan yang mereka bakal hadapi.

Berdasarkan portal Rare Historical Photos, gambar tersebut adalah milik keluarga Ray Chalifoux yang dihalau keluar dari rumah mereka.

Akibat ketiadaan wang, bekas pemandu trak yang kehilangan pekerjaan itu dan isterinya mengambil keputusan untuk menjual empat orang anak mereka.

4 children for sale
Dari kanan atas, Lana, 6, Rae, 5, Milton, 4, dan Sue Ellen, 2. (Kredit: Rare Historical Photos)

Dalam tempoh dua tahun, kesemua empat kanak-kanak itu termasuk seorang bayi di dalam kandungan Mrs Ray dijual kepada keluarga yang berbeza, tulis Rare Historical Photos.

RaeAnn Mills dan adik lelakinya, Milton dikatakan telah dijual kepada keluarga Zoeteman pada 27 Ogos 1950. Nama mereka kemudiannya ditukar kepada Beverly dan Kenneth.

Pun begitu, nasib malang menimpa mereka apabila mereka dipaksa bekerja sebagai kuli dan sering dirantai di dalam bangsal.

Lantaran itu, RaeAnn dikatakan telah melarikan diri pada usia 17 tahun. Malangnya, dia telah diculik dan diperkosa hingga hamil sebelum dihantar ke rumah perlindungan remaja hamil. Bayinya pula diserahkan kepada keluarga angkat untuk dijaga.

Sementara itu, Milton pula terpaksa dihantar ke hospital mental selama beberapa tahun selepas mengalami tekanan akibat penderaan.

Berbanding RaeAnn dan Milton, adik lelaki mereka, David mempunyai nasib yang berbeza. Dia yang masih berada di dalam kandungan ketika gambar itu diterbitkan telah diambil sebagai anak angkat secara sah oleh keluarga Harry dan Luella McDaniel yang disifatkan sebagai tegas namun penyayang.

Ketiga-tiga mereka tidak mengetahui nasib yang menimpa Lana dan Sue Ellen sehinggalah wujudnya media sosial.

Dalam laporan NWI Times, adik-beradik berkenaan dikatakan sempat bertemu setelah berpuluh tahun dipisahkan.

Pun begitu, Lana dilaporkan meninggal dunia pada 1998 akibat kanser manakala Sue Ellen meninggal dunia pada Julai 2013.

Sue Ellen (kiri) dan RaeAnn ketika bertemu semula pada 2013. RaeAnn menunjukkan pakaian yang dipakaikan ketika dijual kepada keluarga lain. Ia merupakan satu-satunya peninggalan ibu kandung yang ada padanya. (Kredit: Rare Historical Photos)

Pandangan terhadap ibu kandung

David McDaniel menganggap perbuatan ibunya sebagai salah satu langkah yang dilakukan demi kelangsungan hidupnya.

“Dia tak pernah meminta maaf. Ketika itu, ia adalah survival. Siapa kami untuk hakimi? Kita semua manusia yang membuat kesilapan. Mungkin dia memikirkan anak-anaknya dan tidak mahu mereka mati,” katanya.

Pun begitu, Milton mempunyai perspektif yang berbeza.

“Ibu kandung saya tak pernah menyayangi saya. Dia tak pernah meminta maaf kerana menjual saya. Dia sangat bencikan saya dan tidak kisah tentang saya,” katanya.

Sumber: Rare Historical Photos, NWI Times

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.