Siakap Keli
Gambar: Bernama

Hishammuddin Selar Setiausaha Luar Filipina Berhubung “Tweet” Kontroversi

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Setiausaha Luar Filipina  Teodoro Locsin Jr berhubung hantaran Twitter “Sabah is not in Malaysia” baru-baru ini.

Beliau menyifatkan kenyataan Locsin itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Hishammuddin dalam hantaran menerusi Twitternya hari ini mengarahkan Wisma Putra  memanggil Duta Filipina ke Malaysia  Charles C. Jose pada Isnin untuk menjelaskan isu tersebut.

“Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.

Hantaran beliau itu meraih lebih 2,000 retweet dan hampir 4,000 likes setakat ini.

Ahad lepas Locsin membuat hantaran “Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines”. (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina).

Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons kepada hantaran Twitter Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina berkenaan sumbangan 500 kit kebersihan diri kepada rakyat Filipina yang dihantar pulang oleh Sabah dan tiba di Zamboanga City dan Bongao di Tawi Tawi.

Gambar: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right