Siakap Keli
Gambar: Bernama

Laporan: Lee Harap Dapat Adakan Pemukiman Tahunan Dengan Muhyiddin

SINGAPURA, 30 Julai  — Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berharap beliau dan rakan sejawatannya dari Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mencari jalan untuk mengadakan pemukiman tahunan pemimpin Singapura-Malaysia tahun ini.

Memetik Lee, The Straits Times melaporkan bahawa perdana menteri itu telah dapat bertemu sebentar dengan Muhyiddin di tengah-tengah Tambak Johor awal pagi ini, sebagai simbolik kesepakatan untuk menyambung semula projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Woodlands dan Johor Bahru.

“Kita jiran yang dekat dan ada banyak yang perlu kita bincangkan bersama, juga bagaimana kita boleh pastikan pergerakan rakyat yang selamat antara kedua-dua kawasan ini,” kata Lee yang dipetik sebagai berkata.

Kini giliran Singapura pula menjadi negara tuan rumah untuk pemukiman berkenaan.

Lee berada di Malaysia pada April tahun lepas ketika Malaysia menjadi tuan rumah pemukiman tersebut.

Menurut laporan itu, Lee berkata kedua-dua negara masih dalam perbincangan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Saya harap kita dapat menyelesaikan sesuatu, kerana asas di sebaliknya ialah Singapura dan Malaysia adalah dua ekonomi utama … dan semakin kita dapat memudahkannya, saya rasa semakin banyak urusan yang dapat kita lakukan dan semakin dekat kedua-dua kawasan itu, akan wujud dari segi hubungan, dari segi kerjasama dan persahabatan. ”

Menteri Kanan Malaysia merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 31 Mei berkata kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai projek infrastruktur.

Menurut Mohamed Azmin, keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HRS sehingga 31 Disember, 2020.

Pada 5 Sept, 2018, kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk menggantung pembinaan projek dua hala itu sehingga 31 Mei, 2020 bagi mencari cara terbaik untuk meneruskan projek tersebut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.