Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

MAQIS Rampas 600 Ekor Ikan Arowana Emas Cuba Dieksport Ke China

SEPANG, 30 Julai (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 600 ekor ikan Arowana Emas bernilai RM215,816 yang cuba dieksport ke China secara salah.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata ikan-ikan itu yang diletakkan di dalam bekas polistirena putih, ditahan di tempat pemeriksaan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lepas.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan teliti, pegawai MAQIS mendapati nombor mikrocip yang terdapat pada ikan-ikan tersebut tidak sama dengan dokumen Kawalan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Fauna Dan Flora Terancam (CITES) yang diisytiharkan.

“Dagangan ikan Arowana Emas ditahan oleh pihak MAQIS kerana dipercayai memberikan dokumen yang tidak tepat dan mengelirukan dalam pengeksportan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengeksport ikan dengan mengisytiharkan dokumen palsu, tidak tepat atau mengelirukan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right