Siakap Keli

Pelajar Guna Kemahiran Latihan Asas Kebakaran Selamatkan Diri, Penghuni Maahad Tahfiz

PARIT, 30 Julai — Tindakan pantas seorang pelajar yang menggunakan kemahiran dalam latihan kebakaran apabila terlihat asap dari sebuah stor Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama di sini tengah malam tadi, berjaya menyelamatkan nyawa rakan-rakan dan gurunya.

Mohd Haziq Abdul Kudus, 18, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.30 malam, semasa beliau sedang membuat persiapan untuk memasak juadah bagi penghuni Maahad Tahfiz itu bersahur sebelum menjalani ibadah puasa sunat Hari Arafah hari ini.

Katanya, beliau ketika itu hendak mengambil barang dari bilik stor, apabila tiba-tiba dia terlihat asap tebal semasa membuka pintu, lalu beliau terus menjerit untuk mengejutkan semua rakan-rakan dan guru daripada tidur supaya menyelamatkan diri, semasa kebakaran mulai merebak.

“Saya cuba memadamkan kebakaran dengan bantuan beberapa orang rakan menggunakan air,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak Mohd Akmal Kamarudin di lokasi kejadian di sini hari ini.

Pelajar yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan itu berkata beliau dan rakan-rakan menggunakan segala ilmu pengetahuan yang dipelajari daripada pasukan bomba semasa latihan asas kebakaran di Maahad Tahfiz itu dalam usaha memadamkan kebakaran dan memastikan tiada mangsa yang terkorban.

Bagaimanapun pelajar yang sudah lima tahun menuntut di Maahad Tahfiz itu berkata api yang menjulang tinggi tidak dapat dipadamkan dengan mudah dan hanya dapat dipadamkan pasukan bomba yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Sementara itu, seorang lagi pelajar tinggal sehelai sepinggang selepas kesemua barangan peribadinya musnah dalam kebakaran terbabit.

Muhamad Muzakkir Ehsan Zulkifli, 15, yang berasal dari Teluk Intan berkata dia hanya mampu redha kerana tidak sempat menyelamatkan barangan miliknya dalam insiden itu namun bersyukur kerana tiada penghuni yang terkorban.

“Ketika kejadian saya sedang tidur dan tiba-tiba terjaga apabila mendengar bunyi riuh suara yang menyuruh kami keluar ke tempat selamat. Saya tidak berani untuk mengambil barang-barang berharga dan barangan keperluan asas milik saya kerana api sudah merebak. Kini saya hanya ada pakaian yang saya pakai ini sahaja,” katanya.

Dalam kejadian itu, 115 pelajar lelaki terselamat dalam kebakaran tiga blok di Maahad Tahfiz di Kampung Lambor Kanan, Seri Iskandar itu yang melibatkan kerosakan kepada bahagian asrama, stor, dewan, dan bilik kuliah.

Sementara itu, pengetuanya maahad berkenaan, Akhbar Ali Mydin Ahmad Shah berkata semua pelajar kini ditempatkan di Masjid Lama di Maahad Tahfiz itu sementara menunggu asrama mereka dibaik pulih sepenuhnya.

Beliau berkata pihaknya sedang merancang untuk mengumpulkan dana bagi membina bangunan baharu yang akan menempatkan kesemua pelajar terbabit, namun beliau mengakui bahawa ia memerlukan kos yang amat besar.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.