Siakap Keli
Gambar: Bernama

Permohonan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA Kini Dibuka – MOTAC

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin awal Jun lepas kini dibuka untuk permohonan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata skim tersebut bertujuan mengekalkan keupayaan dan meningkatkan daya saing Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) serta membantu perusahaan mikro tempatan membuat penyesuaian selepas negara pulih daripada COVID-19.

“PKS dan perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corp Malaysia atau yang dilesenkan oleh atau didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan ini.

“Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada perusahaan mikro dan sehingga RM300,000 kepada PKS pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan tidak melebihi tujuh tahun,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau juga memaklumkan, mereka yang terlibat dengan skim itu akan diberi tempoh menangguhkan pembayaran balik minimun enam bulan bagi membantu aliran tunai perusahaan dan sebanyak 12 institusi kewangan akan terlibat dalam skim pembiayaan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang PENJANA http://penjana.treasury.gov.my/

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right