Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Lelaki Langgar Dan Bunuh Rakan Dipercayai Sebab Dadah

BUTTERWORTH, 30 Julai — Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh seorang lelaki yang dilakukan oleh rakannya dengan cara melanggar dan memukul mangsa dalam kejadian di Taman Dahlia, di sini semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan siasatan awal, dua rakan itu dipercayai berselisih faham sebelum suspek berumur 36 tahun tersebut berang dan bertindak melanggar sebelum memukul mangsa berusia 43 tahun itu hingga mati.

“Berdasarkan siasatan awal ke atas suspek yang ditahan tiga jam selepas kejadian, polis percaya ia berkaitan dengan dadah namun kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang penunggang motosikal ditemukan mati berlumuran darah selepas dilanggar dan diseret dengan sebuah kereta sebelum dipukul oleh seorang lelaki yang merupakan rakannya dalam kejadian di Taman Dahlia, Mak Mandin di sini.

Mangsa, Lau Weng Heng mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dan kepala, susulan itu polis menahan seorang lelaki yang juga rakannya dan tinggal di Taman Dahlia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun kerana terlibat dalam kegiatan curi basikal berjenama di daerah SPU dan merampas semula lima basikal bernilai RM10,000 dalam serbuan di rumah suspek di sini pada Sabtu lepas.

Katanya, polis menerima beberapa laporan berhubung kejadian curi basikal berjenama dan mahal sebelum menjalankan risikan serta intipan bagi mengesan suspek terlibat dalam kes jenayah tersebut.

“Polis berjaya menahan lelaki yang mempunyai sembilan kes lampau berkaitan jenayah serta dadah itu dan sedang mengesan rakannya dipercayai turut terlibat dalam kes tersebut. Modus operandi mereka adalah mencuri basikal sebelum menjual kepada pembeli dengan harga lebih murah,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story