Siakap Keli

Polis Siasat Kes Video Tular Pengawal Keselamatan Warga Asing Dipukul

PUTRAJAYA, 1 Ogos – Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka berikutan video kejadian pukul pengawal keselamatan warganegara Nepal yang tular baru-baru ini.

Video berdurasi 44 saat tersebut melibatkan seorang lelaki menampar dan memukul individu berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan sebatang kayu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Rajab Ahad Ismail berkata, punca kejadian sedang disiasat dan pihak yang terlibat diseru segera tampil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, video tular tersebut bertarikh 7 Julai lalu dan kejadian didapati berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah bangunan kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.

“Kejadian dipercayai melibatkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut.

“Video ini telah ditonton dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak senang dengan tindakan yang diambil suspek.

“Sehingga kini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta menyalurkannya melalui Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom (016-2014334), atau Pegawai Penyiasat Kanan, DSP Stephen Ganeson (016-3767390), atau Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: IPD Wangsa Maju melalui Polis KL

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.