Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Aliran Trafik Ke Ibu Negara Bertambah, Dijangka Meningkat Petang Ini

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (BERNAMA) — Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara masih lancar dan terkawal walaupun jumlah kenderaan menuju ke ibu negara bertambah setakat 2.30 petang ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Bakri Zainal Abidin berkata aliran trafik dijangka meningkat pada sebelah petang berikutan pertambahan kenderaan orang ramai yang pulang ke rumah masing-masing selepas menyambut Aidiladha di kampung halaman.

“Aliran trafik dijangka meningkat menjelang petang ini dan pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan dapatkan rehat secukupnya,” katanya kepada Bernama.

Bakri berkata anggotanya melalui unit ‘Jammed Squad’ akan terus memantau aliran pengerakan kenderaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menurut Bakri, setakat ini dilaporkan aliran trafik perlahan dari Seberang Jaya ke Perai, sebelum masuk Plaza Tol Juru dan Changkat Jering ke Bukit Berapit ekoran pertambahan kenderaan.

Trafik turut perlahan di kawasan Gurun ke Sungai Petani (U); Sungai Petani (U) ke Sungai Petani (S); Bertam ke Sungai Dua; Juru ke Bandar Cassia; Jawi ke Bandar Baharu; Bukit Merah ke Taiping (U); Kuala Kangsar ke Menora; Jelapang ke Simpang Pulai; Gopeng ke Bidor; dan Lembah Beringin ke Bukit Tagar.

Selain itu, aliran trafik tinggi di kilometer (KM)17.7 dari Karak hingga Bentong barat; Bentong barat hingga KM59.7 arah barat; dan KM51.8 hingga KM47.8 arah barat iaitu Lentang ke Bukit Tinggi.

“Trafik turut perlahan di KM95.3 hingga KM93.6 arah barat iaitu Lanchang ke Karak dan KM90.8 di Lanchang hingga Karak arah barat dan terus bercantum dengan Lebuhraya Kuala Lumpur Karak,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata lorong kiri di KM255 hingga 260 sebelah barat, dan laluan dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora ditutup bagi mengatasi kesesakan sebelum Terowong Menora arah Selatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.