Siakap Keli
Kredit: Bernama

Peniaga Gagal Henti Operasi Lepas 10 Malam Bakal Ditarik Balik Lesen -MBKS

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) — Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memberi amaran akan menarik balik lesen peniaga di bandar raya ini sekiranya mereka dikenakan denda oleh pihak penguatkuasa kerana gagal mematuhi arahan menghentikan operasi perniagaan selepas pukul 10 malam.

Ini berikutan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengehadkan waktu operasi perniagaan di Zon Satu iaitu Kuching, Samarahan dan Serian dari pukul 6 pagi hingga 10 malam mulai semalam berikutan peningkatan kes COVID-19 di zon berkenaan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata langkah tegas itu terpaksa diambil memandangkan amaran telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lepas.

Tarik lesen lepas dikenakan penalti

“Selepas kamu (peniaga) dikenakan penalti (denda), kami (MBKS) pula akan menarik balik lesen kamu,” katanya ketika melawat Pasar Komuniti Stutong di sini, yang dibuka semula hari ini selepas diarahkan tutup selama 14 hari kerana ada peniaganya positif COVID-19.

Beliau berkata ketika ini pihak polis menjadi agensi penguatkuasa utama bagi memastikan peniaga mematuhi segala arahan dan SOP yang ditetapkan bagi mencegah jangkitan penyakit itu di bandar raya ini.

Sehubungan itu, Wee meminta peniaga di bandar raya ini sama ada yang mengusahakan kedai kopi, kedai gunting rambut dan sebagainya supaya menutup perniagaan mereka menjelang 10 malam seperti diarahkan.

“Bila tiba waktu untuk menutup premis perniagaan, maka kamu (peniaga) tutuplah. Bila pelanggan semakin (duduk) rapat semasa minum, kamu suruh mereka menjarakkan diri dan ini perkara asas yang mesti dipatuhi,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak menyebarkan khabar angin atau mempolitikkan penutupan Pasar Komuniti Stutong sebelum ini, yang terpaksa dilakukan setelah pasar itu menjadi salah satu kluster COVID-19 di bandar raya ini.

Menurutnya, khabar angin mendakwa peniaga pasar itu berniaga di tempat lain secara haram ketika pasar tersebut ditutup juga tidak berlaku kerana peniaga berkenaan menjalani kuarantin di rumah seperti diarahkan Kementerian Kesihatan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.