Siakap Keli

Ini Punca Sakit Gigi Sampai Boleh Demam, Bahaya Jika Dibiarkan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ah, peritnya kalau sakit gigi! Lagi-lagi kalau sakitnya teruk sangat sampaikan demam. Apakah sebenarnya punca sakit gigi sehingga menyebabkan demam?

Normalkah demam ketika sakit gigi, ataupun ketika gigi bongsu anda baru nak keluar?

Jawapan semuanya dalam artikel ini. Teruskan membaca ya!

Apakah itu sakit gigi?

Sakit gigi adalah sakit yang anda rasakan sekitar gigi, gusi atau rahang. Selalunya, sakit gigi adalah tanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada gigi atau gusi anda.

Kadangkala, sakit gigi anda boleh disebabkan oleh masalah lain dalam badan.

Anda tidak boleh mengabaikan sakit gigi kerana ia boleh mengganggu tidur, kehidupan seharian malah pekerjaan anda.

Sakit gigi yang disebabkan oleh kerosakan gigi boleh menjadi lebih teruk jika tidak dirawat.

Ia biasanya tidak mengancam nyawa, tetapi dalam sebilangan kes, ia boleh menjadi tanda untuk keadaan yang lebih serius, memerlukan rawatan perubatan dengan segera.

Ouch, betul ke ini sakit gigi?

Kesakitan daripada keadaan ini boleh merangkumi keadaan yang ringan hingga teruk, dan kemungkinan berterusan atau berselang rasa sakitnya.

Anda mungkin merasakan sakit seperti:

  • Sakit berdenyut atau bengkak di dalam atau di sekitar gigi atau gusi anda
  • Sakit berasa tajam semasa anda menyentuh gigi atau menggigit sesuatu
  • Gigi menjadi lebih sensitif apabila mengambil makanan dan minuman sejuk atau panas
  • Rasa  sakit seperti terbakar atau kejutan elektrik, namun jarang berlaku
  • Demam dalam sesetengah kes

Punca sakit gigi

punca sakit gigi

Punca utama sakit gigi adalah kerosakan gigi iaitu karies gigi. Selain itu, punca lain boleh termasuk bahagian gusi dan rahang seperti :

  • Penyakit keradangan gusi
  • Gigi sensitif
  • Gigi retak
  • Gigi tersepit, terutama sekali gigi bongsu yang tumbuh senget
  • Abses gigi
  • Sakit sendi rahang

Selain itu, punca lain boleh disebabkan penyakit dari bahagian badan lain seperti :

  • Resdung atau sinus tersumbat
  • Penyakit jantung atau kanser paru-paru
  • Neuralgia trigeminal

Resdung berlaku apabila sinus mengalami keradangan disebabkan oleh jangkitan kuman. Oleh sebab akar gigi bahagian atas hampir dengan sinus anda, resdung boleh menyebabkan sakit gigi.

Jika sakit gigi anda berlaku secara tiba-tiba, ia mungkin disebabkan oleh penyakit jantung atau kanser paru-paru. Dalam beberapa kes, sakit gigi merupakan amaran serangan jantung.

Penyakit jantung dan paru-paru boleh menjadi punca sakit gigi kerana lokasi saraf vagus anda.

Saraf ini mengalir dari otak ke organ yang berlainan dalam badan, termasuk jantung dan paru-paru, melewati bahagian rahang anda.

Penyakit neuralgia trigeminal ialah tekanan kepada saraf trigeminal yang mengakibatkan kesakitan yang terlampau.

Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, dan ciri-ciri kesakitannya adalah seperti tikaman yang tajam atau kejutan elektrik berlaku pada sebelah muka sahaja.

Jadi, kenapa demam ketika sakit gigi?

punca sakit gigi

Dalam kalangan bayi, pertumbuhan gigi boleh menyebabkan demam ringan.

Namun, untuk kanak-kanak atau orang dewasa, pertumbuhan gigi tidak sepatutnya berkait dengan demam.

Sekiranya demam berlaku ketika pertumbuhan gigi, ini mungkin menunjukkan jangkitan pada gigi atau gusi. Jangkitan yang kerap dijumpai ialah abses gigi (poket nanah yang disebabkan oleh jangkitan bakteria).

Jadi, pertumbuhan gigi tidak menyebabkan demam sebaliknya ia disebabkan oleh jangkitan kuman pada gigi atau gusi anda.

Jika tidak dirawat, nanah boleh masuk dalam saluran darah dan mengancam nyawa anda.

Komplikasi yang boleh berlaku

Jika tidak menerima rawatan segera, sakit gigi boleh menyukarkan anda untuk menjalani kehidupan harian malah pekerjaan anda.

Selain itu, komplikasi sakit gigi yang lain termasuklah:

  • Kesukaran membuka mulut, mengunyah makanan ataupun tidur
  • Sakit gigi berdenyut yang berterusan, juga pada gusi dan rahang
  • Gusi atau pipi di bahagian gigi yang terlibat boleh membengkak
  • Kehilangan gigi atau gigi boleh mati sepenuhnya

Abses gigi tidak akan hilang tanpa rawatan. Sekiranya abses pecah, rasa sakit gigi berdenyut akan berkurang namun anda masih memerlukan rawatan pergigian.

Sekiranya poket nanah tidak kering sepenuhnya, jangkitan boleh merebak ke bahagian rahang, leher atau kepala anda.

Jika ia masuk dalam saluran darah anda, ia boleh menyebabkan jangkitan yang mengancam nyawa.

Seandainya anda mempunyai sistem imun badan yang lemah dan tidak merawat abses gigi, risiko jangkitan anda semakin meningkat.

Petua penjagaan gigi anda

sakit gigi berdenyut

Sehingga rundingan anda dengan doktor gigi, cubalah beberapa petua seperti berikut :

  1. Kumur mulut menggunakan air suam.
  2. Gunakan flos gigi untuk membuang sisa makanan atau plak yang tersepit di antara gigi anda.
  3. Jika sakit gigi anda semakin teruk, pertimbangkan untuk mengambil ubat tahan sakit dari farmasi.
  4. Sekiranya sakit gigi disebabkan oleh trauma, gunakanlah kompres sejuk di bahagian luar pipi anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)