Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pelajar B40 Pulang Dari Luar Negara Dikecualikan Bayar Kos Kuarantin

KUALA LUMPUR, 3 Ogos  — Pelajar yang pulang dari luar negara tetapi tidak mampu membayar kos kuarantin wajib serta berasal daripada keluarga B40 akan dikecualikan daripada membayar kos tersebut, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka yang telah tiba di negara ini boleh membuat rayuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala yang bakal tiba pula akan dihantar ke Institut Latihan Awam (ILA) untuk menjalani kuarantin wajib tersebut.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi pelajar yang pengajiannya ditaja, mendapat pinjaman atau biasiswa, kos kuarantin perlu ditanggung oleh badan penaja.

Katanya pelajar yang berkemampuan pula perlu membayar sendiri kos kuarantin selama 14 hari itu.

“Semalam, terdapat laporan mengenai pelajar yang pulang dari Yaman, berlegar-legar di kawasan hotel kerana tidak berkemampuan untuk membayar kos kuarantin, maka mesyuarat hari ini bersetuju untuk pelajar yang daripada keluarga berpendapatan rendah dikecualikan daripada membayar kos tersebut tetapi yang mampu perlu bayar sendiri,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pelajar yang bakal pulang mendaftar dengan Kementerian Luar bagi mengisi butir-butir peribadi dan latar belakang keluarga agar kementerian itu dapat memaklumkan kepada Nadma.

“Jadi apabila mereka sampai ke Malaysia, nama mereka sudah ada dan akan terus dihantar ke ILA, tidaklah perlu menunggu di hotel seperti yang berlaku semalam,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin rumah yang telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

Beliau berkata pegawai Kementerian Kesihatan bersama anggota Polis Diaraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semalam, PDRM telah melakukan 2,160 pemeriksaan spot check dan jumlah kumulatif yang telah diambil tindakan kerana gagal mematuhi SOP kuarantin rumah ialah seramai 51 individu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai hingga 2 Ogos, seramai 4,768 individu telah tiba di tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 19 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Kelantan.

Katanya kesemua mereka tiba dari 26 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol dan Australia.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right