Siakap Keli

Semua Aktivti Keagamaan Di Masjid Dalam Kawasan PKPD Bersasar Ditangguhkan Bermula Semalam

ALOR SETAR, 3 Ogos – Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang terlibat dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar  (TEMCO) dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditangguhkan, berkuat kuasa semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) hari ini, penangguhan itu melibatkan Masjid Kariah Hosba (Bani Hashim), Masjid Kariah Kampung Cherok Mokkan (Al-Amin), Masjid Kariah Megat Dewa (Jamiusalam), Masjid Kariah Binjal, Masjid Kariah Asun (Al-Jahra) dan Masjid Kariah Kampung Bukit (Al-Bukhari).

Di daerah Padang Terap, ia melibatkan Masjid Kariah Kampung Kubang Palas, Masjid Kariah Kampung Padang Sanai dan Masjid Kariah Kampung Padang Cenderai (Al-Tarmizi).

Kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEAIK itu menyebut keseluruhan operasi di surau dalam semua kariah terbabit turut diarahkan tutup.

Solat Jumaat di masjid terlibat ditangguhkan dan akan digantikan dengan Solat Zohor manakala semua aktiviti keagamaan termasuk majlis ilmu tidak dibenarkan.

“Bagi solat fardu berjemaah, hanya tiga orang sahaja dibenarkan iaitu imam, pegawai masjid dan jawatankuasa kariah secara bergilir-gilir dalam satu waktu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Laungan azan  di masjid terlibat dibenarkan.

“Bagi anak kariah masjid yang terlibat, mereka perlu menggantikan Solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor di rumah dan mereka dilarang menunaikan Solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau yang lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jika ada jemaah yang hadir ke masjid atau surau yang didapati positif COVID-19, pihak pengurusan perlu menjalankan proses sanitasi secara keseluruhan dan operasi masjid serta surau perlu ditutup sepenuhnya.

Selain itu, semua majlis akad nikah di masjid yang terlibat turut ditangguhkan serta tidak dibenarkan dilakukan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu dan Pejabat Agama Daerah Padang Terap.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang