Siakap Keli

BoBoiBoy Bakal Menggegar Pawagam Di Turki Tahun Ini Dengan Tayangan Dua Filem Berturut-turut

Francais animasi superhero Malaysia, BoBoiBoy, bakal menggegar pawagam di serata negara Turki dengan penayangan dua filem
pecah panggung dari francais tersebut di penghujung tahun ini. Monsta, studio dibelakang tabir BoBoiBoy, akan bekerjasama dengan pengedar tempatan iaitu
CJ Entertainment Turkey dan Two Productions untuk membawakan BoBoiBoy: The Movie pada bulan September tahun ini, disusuli dengan sekuelnya iaitu
BoBoiBoy Movie 2.

Namun Monsta tidak berhenti sekadar di situ, kerana studio tersebut turut dalam perbincangan untuk membawa kesemua 76 episod siri animasi BoBoiBoy dan BoBoiBoy Galaxy ke kaca-kaca televisyen di Turki. Kesemua filem dan siri animasi tersebut turut akan dialih bahasa ke dalam Bahasa Turki, supaya para penonton dapat
mendalami watak superhero kegemaran mereka dengan lebih rapat lagi.

Francais animasi BoBoiBoy yang kian popular ini telah berjaya menembusi pasaran hiburan di lebih 70 buah negara seperti di Asia Tenggara, India, dan MENA (Middle East and North Africa), dan kini Turki bakal menjadi medan baharu bagi francais ini untuk mengembangkan sayapnya ke negara-negara yang berhampiran. Monsta komited dalam menerajui usaha pengeksportan animasi Malaysia yang berkualiti tinggi, dan berharap dengan ketibaan BoBoiBoy di Turki, jutaan penonton baharu akan dapat menikmati siri animasi tersebut yang sarat dengan aksi, komedi, dan
hiburan untuk seisi keluarga.

Nur Farra